PETALING JAYA: Polis mengesan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang didapati memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Persekutuan di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 10.49 pagi.

Menurutnya, kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang memaparkan pacuan empat roda tersebut dipandu dalam keadaan melulu dengan memotong beberapa kenderaan di lokasi kejadian.

"Pacuan empat roda tersebut kemudiannya bertindak melanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia sebelum berlalu pergi.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Petaling Jaya, Inspektor M Sivam di talian 0173290749 untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Pada Sabtu, tular rakaman video sebuah pacuan empat roda dipandu melulu sebelum melanggar sebuah Perodua Axia di Lebuhraya Persekutuan menghala Shah Alam di sini. -Sinar Harian