DURIAN TUNGGAL: Polis akan mempertingkatkan kawalan di pintu sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan ganja ke negara ini.

Ia susulan keputusan Thailand yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya dan membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah kediaman bermula Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tidak dinafikan keputusan Thailand itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada aktiviti penyeludupan bahan terlarang berkenaan oleh kumpulan penagih dan pengedar.

“Memang akan menimbulkan keghairahan yang lebih di pihak kita. Mungkin akan memudahkan pergerakan ganja. Kalau sudah dilegalisasi, dihalalkan sejak 9 Jun, pergerakannya tak ada had lagi. Mungkin semua akan tunggu di  sempadan untuk masuk ke Malaysia.

“Kita pun akan mempertingkatkan lagi kita punya kawalan kita. Untuk makluman semalam kita ada rampasan lebih 800kg ganja yang cuba diseludup dari Thailand. Kita dapat tangkap di Pulau Pinang,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menjadi panel pada seminar Isu Sosial Masyarakat 2022 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan mencadangkan pindaan beberapa akta berkaitan jenayah narkotik kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, ia selari dengan perkembangan pelbagai dadah jenis baharu dan modus operandi yang digunakan oleh kumpulan pengedar dadah.

Baru-baru ini Thailand menjadi negara Asia pertama yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya dan membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah.

Kerajaannya mengeluarkan bahagian tertentu dan ekstrak tumbuhan ganja (kecuali bunga dan perbungaan) daripada senarai narkotik terkawal kategori 5, di bawah Akta Narkotik 1979, supaya boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Bagaimanapun, penggunaan marijuana yang juga dikenali sebagai ganja dan kanabis, secara rekreasi masih diharamkan.