SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya memberkas 75 individu selepas disyaki terbabit aktiviti penyeludupan migran untuk masuk ke Sandakan melalui perairan Pulau Berhala, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, 64 yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala 11 lagi merupakan warga tempatan.

Difahamkan, kesemua suspek menaiki dua buah bot yang disyaki datang dari Filipina.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, PPM sebelum itu mengesan dua buah kapal bergerak dari arah laut lepas memasuki ke kawasan perairan Sandakan dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan Marin kemudian menahan kedua-dua kapal tersebut dan telah menangkap dua orang juragan yang mengemudi kapal tersebut bersama 73 orang penumpang (migran).

“Pemeriksaan lanjut mendapati, mereka disyaki cuba menyeludup masuk ke Sandakan.

“Dua buah kapal bersama wang tunai sebanyak 109,940 Peso bersamaan RM9,338 dari kedua-dua juragan tersebut turut dirampas, disyaki bayaran tambang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, setiap penumpang migran juga dipercayai dikenakan bayaran RM84 oleh juragan tersebut.

“Semua suspek masih direman selama 14 hingga 28 hari dan sudah menjalani ujian saringan COVID-19 dan didapati negatif.

“Bagaimanapun, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/53,” jelasnya.