TAIPING: Sebuah premis perniagaan di Taman Kurau Mutiara, Batu Kurau, di sini diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kerana menjual minyak masak dan gula tanpa lesen.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping menjalankan serbuan itu pada semalam (Selasa) sekitar jam 10 pagi.

Susulan daripada itu, pihaknya telah menyita sejumlah 5,414 kilogram (kg) gula, 343 kg minyak masak polibeg 1kg, minyak masak sawit tulen dibotolkan 2 kg dan 5 kg di premis terbabit dengan nilai sitaan berjumlah RM18,618.55. 

"Hasil serbuan mendapati peniaga ini sedang menjalankan urusniaga barang kawalan iaitu gula dan minyak masak. 

"Pemeriksaan lanjut mendapati peniaga gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia berkaitan urusniaga barang kawalan apabila diminta," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau menambah, kes ini akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jelasnya, KPDN memandang serius dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana orang yang menjalankan urusniaga atau aktiviti berkaitan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

"Gula dan minyak masak adalah antara barang kawalan berjadual dan dikawal selia oleh Kementerian ini di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. 

"Siasatan lanjut turut dijalankan ke atas syarikat pembekal bekalan gula dan minyak masak ini.

"Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan ke atas pembekal kerana disyaki melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya lagi.

Justeru katanya, masyarakat atau pengguna disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.