IPOH: Sebuah premis memproses produk makanan ringan popular diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas disyaki menggunakan logo halal tidak sah.

Serbuan sekitar jam 11 pagi itu dilakukan atas maklumat awam di Kawasan Industri Jelapang di sini pada Isnin membabitkan makanan produk salmon skin salted egg.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, premis itu sedang beroperasi dengan memproses makanan produk tersebut.

Menurutnya, siasatan lanjut kemudiannya menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal.

"Semakan awal mendapati logo halal ini digunakan untuk tujuan perdagangan secara tidak sah.

"Pengurus premis terbabit turut gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakukan oleh pihak berkuasa apabila diminta KPDN," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, KPDN mengenakan tindakan sita ke atas semua dokumen perniagaan, produk dan balang plastik yang tertera logo halal dengan jumlah keseluruhan RM88,582 untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Katanya, siasatan dilakukan atas kesalahan melanggar Subperenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 8 (a) perintah.

"Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda tidak melebihi RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan," katanya.

Kamalludin berkata, produk makanan ringan itu dikesan dijual secara dalam talian dan mendapat sambutan ramai pengguna.

"Kita minta setiap peniaga dan pengusaha supaya mematuhi perundangan yang berkuat kuasa termasuk mendapatkan perakuan halal yang sah daripada agensi kerajaan," katanya. -Sinar Harian