KOTA BHARU: Pas Kelantan bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuk pertandingan tiga atau empat penjuru pada Plihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ianya termasuklah bertanding melawan UMNO sekiranya parti itu kekal untuk menentang Pas.

"Kita hadaplah, nak buat macam mana, kita bersedia dengan segala kemungkinan. Kalau lawan dengan UMNO kita akan lawan.

"Cuma kita harap tak berlaku, kita harap ada understanding supaya tak bertembung tiga penjuru, sebab kita tak nak PH menang, bukan sahaja di Kelantan tapi seluruh negara, kita harap.

"Pemimpin UMNO boleh faham hasrat kita. Kita macam biasa walaupun UMNO isytihar putus, kita tak isytihar, kita tak menyerang," katanya.

Mohd Amar menjelaskan, hubungan Pas dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) peringkat pusat masih kekal walaupun UMNO Kelantan telah memutuskan hubungan berkenaan.

Hasrat Pas katanya, adalah memastikan Pakatan Harapan tewas dan mengelakkan pertembungan tiga penjuru di Kelantan.

Sementara itu mengulas mengenai Muktamar Pas awal bulan depan, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan meminta perwakilan menggunakan peluang berbahas dan melontar pandangan  dengan baik dengan menyentuh perkara perkara yang boleh mengukuhkan parti.

Ini kerana Muktamar kali ini merupakan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd Amar juga menjangkakan tiada isu besar dan usul yang dibangkitkan perwakilan kali ini.

Muktamar Pas pada awal September depan dijangka berlangsung di Kedah.