KUALA LUMPUR:Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan prestasi cemerlang apabila jumlah deposit tahunan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) meningkat tiga tahun berturut-turut sejak 2018.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, ia berjaya dicapai apabila PTPTN mula memperkenalkan dan memberikan penekanan kepada budaya menabung dalam kalangan masyarakat pada 2018.

“Jumlah deposit SSPN bagi tahun 2020 ialah RM1.99 bilion melepasi sasaran RM1.5 bilion, sekali gus memecah rekod terdahulu dan mencatat rekod baharu.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM623.82 juta atau 45.58 peratus berbanding RM1.37 bilion pada 2019 dan RM1.14 bilion pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi prestasi pembukaan akaun baharu SSPN pula, sebanyak 436,101 akaun telah dibuka pada 2020 melepasi sasaran tahunan, iaitu 400,000 akaun.

“Sehingga 31 Disember 2020, jumlah keseluruhan deposit SSPN ialah RM7.88 bilion dan menyaksikan keuntungan pelaburan naik kepada RM237.42 juta berbanding RM205.28 juta tahun sebelumnya.

“Syukur kerana dalam masa kurang sedikit tiga tahun saya di PTPTN, kita sudah berjaya meningkatkan jumlah deposit SSPN sebanyak hampir tiga kali ganda berbanding 2017 dan meningkat setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, PTPTN juga sudah memperbanyakkan saluran untuk transaksi dalam talian seperti Direct Debit, e-Pay, FPX, JomPay, kiosk media, MOLPay, myPay dan PayQuik.

“Hasilnya dilihat apabila sebanyak 66.39 peratus daripada jumlah deposit simpanan dibuat melalui transaksi secara dalam talian berbanding melalui transaksi di kaunter.

“Usaha ini diterajui Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid kerana melihat penggunaan sistem sebegini dapat memastikan urusan pelanggan berjalan dengan cepat, mudah dan selamat terutamanya ketika berdepan pandemik COVID-19.

“Usaha membudayakan penabungan ini perlu diteruskan agar kebergantungan kepada hutang akan berkurangan. Saya mahu benar-benar mengubah PTPTN agar ia dilihat sebagai sebuah agensi yang peranan utamanya adalah untuk menyediakan tabungan pendidikan dan mempunyai kemudahan pinjaman bagi mereka yang memerlukan,” katanya lagi.