KUALA LUMPUR: Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2022-2024 yang dilancarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam merupakan panduan kepada agensi itu untuk mendokong usaha pemantapan governans, integriti dan antirasuah.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata pelan antirasuah tersebut yang menggariskan tiga bidang keutamaan, menampilkan lima objektif strategik dan 12 pelan tindakan secara keseluruhan.

"Setiap pelan tindakan yang ditetapkan telah mengambil kira keperluan kepada pemantapan integriti, pengukuhan governans dan pemerkasaan pencegahan rasuah.

"Pelan juga dirangka secara komprehensif dengan melihat isu dan cabaran yang dihadapi oleh PTPTN," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pelancaran OACP PTPTN 2022-2024 itu yang merupakan dokumen dasar antirasuah utama di peringkat organisasi, disempurnakan oleh Ahmad Dasuki di Menara PTPTN, di sini.

Majlis pelancarannya turut dihadiri Penolong Pesuruhjaya, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Syahrul Ridzuan Yahaya.

OACP PTPTN dilancarkan selaras dengan Inisiatif 2.1.5. Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 di bawah Strategi ke-2 iaitu Memperkukuh Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan, dengan mewajibkan sektor awam untuk membangunkan Pelan Antirasuah di peringkat organisasi masing-masing.

Jelas Ahmad Dasuki, sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), PTPTN sentiasa komited mendokong aspirasi kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang sentiasa bersih dan bebas dari gejala rasuah, serta salah guna kuasa yang boleh menjejaskan imej organisasi.

Katanya, pelancaran OACP PTPTN juga merupakan kesinambungan daripada pelancaran OACP KPT yang telah disempurnakan Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, pada 1 Jun lepas.

Bagi menjayakan pelaksanaan OACP PTPTN, beliau berkata aspek pemantauan dan penilaian akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan OACP PTPTN, bagi mengawasi prestasi pelaksanaannya sehingga tahun 2024.

Menurut beliau lagi, usaha penambahbaikan dalam pengurusan sumber manusia, pentadbiran, kewangan, penggunaan sistem teknologi secara menyeluruh, pemantauan dan pemantapan proses kerja juga akan terus diberi perhatian serius.

"PTPTN berharap agar OACP yang dibangunkan bagi jangka masa tiga tahun ini, dapat dihayati dan dijadikan rujukan komprehensif dan inklusif kepada semua warga kerja PTPTN.

"Ia sekali gus dapat meningkatkan lagi integriti, kecekapan dan seterusnya menambah kepercayaan serta keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh PTPTN," katanya.

-- BERNAMA