KANGAR: Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah rakyat di negeri ini perlu memberi perhatian kepada tiga aspek dalam memastikan kesihatan dan kebersihan sentiasa terjaga.

Baginda bertitah yang pertama ialah wabak denggi dan usaha mengatasi penyakit itu harus digembleng dan melibatkan semua peringkat agensi terutama melalui platform penjagaan persekitaran yang bersih dan sihat.

Perkara kedua titahnya menyentuh isu kebersihan di negeri ini yang perlu diberikan keutamaan, dirangka dan dipantau sebaik mungkin untuk memastikan persekitaran sihat terjaga.

"Pendekatan Program Pelan Tindakan Kesihatan Alam Sekitar Negeri (SEHAP) yang dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan dan melibatkan pelbagai agensi merupakan satu daripada program yang perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak.

"Jawatankuasa khas memantau isu-isu persekitaran di negeri ini terutama aspek pengurusan sisa pepejal dan bekalan air bersih yang merupakan teras utama dalam program SEHAP, " titah baginda pada majlis perasmian Karnival Sihat Milik Semua Peringkat Negeri Perlis bersempena dengan sambutan hari ulang tahun keputeraan ke-80 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan turut hadir pada majlis itu.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah perkara ketiga ialah mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat dengan mengaktifkan diri, elakkan merokok, amalkan pemakanan sihat dan sentiasa memberi keutamaan kepada kesihatan mental untuk memastikan agenda Perlis Sihat menjadi satu realiti.

"Kita sewajarnya bersyukur dengan kemudahan kesihatan yang ada kerana ia mencukupi serta dilengkapi prasarana dan infrastruktur yang optimum, dan saringan kesihatan juga boleh dilaksanakan di klinik swasta tertentu di bawah program PEKA B40," titah baginda.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah pelaksanaan agenda kesihatan seperti Karnival Sihat Milik Semua Peringkat Negeri Perlis perlu mendapat kerjasama semua pihak bagi memastikan objektif yang disasarkan dapat direalisasikan.

Baginda bertitah usaha ini merupakan pendekatan yang tepat dalam memberikan inspirasi kepada semua untuk bertekad mengutamakan kelestarian tahap kesihatan.

-- BERNAMA