KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memperuntukan bantuan awal sebanyak RM50 juta untuk mangsa banjir yang terjejas di Kelantan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap mangsa akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 bagi setiap keluarga dan ia disalurkan terus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

"Bagi mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat ini kita meluluskan peruntukan awal RM50 juta.

"Menerusi peruntukan berkenaan, setiap keluarga akan menerima RM1,000 dan tambahan bantuan lain bergantung pada kerugian yang dialami mangsa banjir," katanya dalam sidang media di Pasir Mas selepas meninjau situasi banjir di Kelantan hari ini.

Dalam masa sama, Anwar berkata Kerajaan Kelantan bersetuju untuk menyegerakan pengambilan tanah bagi mempercepatkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok fasa dua di Rantau Panjang.

[TERKINI] Banjir Kelantan: RM50 juta bantu mangsa banjir, RM1,000 seorang - PM


Persetujuan tersebut, jelas beliau membolehkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) untuk menggerakkan projek tersebut seawal tahun depan.

Ujarnya, ia dijangka melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM800 juta daripada jumlah projek yang diluluskan.

"Jadi kita terpaksa ambil langkah menyegerakan projek fasa 2 di Rantau Panjang kerana ia ternyata mampu mengurangkan tekanan banjir di Rantau Panjang," katanya.