KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) perlu melihat kepada cara bagi mengatasi masalah bekalan modal insan bagi tempoh jangka panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara asas dalam isu ini ialah memantapkan pangkalan data yang telus dan boleh menjadi rujukan pengamal industri dan para graduan.

"Perkara paling penting adalah kena pastikan kita ada data yang boleh diguna pakai mengenai bakat atau modal insan yang dikeluarkan.

"Memang sekarang pun ada komunikasi antara institut pengajian tinggi dan sektor industri, tetapi ada masanya ia masih tidak berkesan.

"Jadi isu ini bukan baharu, dan apa yang kita perlukan adalah memantapkan pangkalan data yang berpusat, yang akan membolehkan sesiapa sahaja mendapat maklumat berkaitan graduan dan keperluan industri.

"Perkara ini sangat mustahak terutama sekali dalam era digitalisasi, banyak sektor industri mengadu kekurangan graduan untuk diambil bekerja, mereka terpaksa latih sendiri.

"Jadi apabila ada data yang tepat, mudah untuk semua pihak buat perkiraan, malah graduan sendiri boleh semak kebolehpasaran bidang mereka," katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI, malam tadi.

Dalam masa yang sama, RMK12 perlu memberi tumpuan khusus kepada teras dan strategi bagi pembinaan semula negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming berpendapat, aspek itu harus menjadi keutamaan setiap kementerian dengan menerapkan pembangunan industri di bawah tanggungjawab mereka.

"Strategi bukan hanya perlu ada pada satu kementerian sahaja, sebaliknya semua kementerian kena ada pelan yang boleh diselaraskan dengan bajet dan RMK12 untuk membolehkan pembangunan semula sektor industri di bawah tanggungjawab mereka.

"Semua pihak mahu lihat macam mana RMK12 nanti boleh menyelaras pelan pemulihan supaya ia ada teras yang spesifik dan kukuh," ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara di Dewan Rakyat, Isnin ini.