KANGAR: Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini malam ini bermandikan cahaya lampu berwarna-warni bagi memeriahkan lagi sambutan Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri.

Lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan itu yang buat julung kali diadakan di kompleks berkenaan yang lebih dikenali dalam kalangan masyarakat setempat sebagai "Mini Putrajaya Perlis".

Sambutan berkenaan disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama memeriahkan sambutan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan barisan exco kerajaan negeri.

Sambutan bermula dengan persembahan nyanyian artis tempatan seperti Ezad Lazim, Brand Band daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Arau dan koir Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis.

Pengunjung seterusnya disajikan dengan persembahan kebudayaan seni bela diri daripada Jabatan Belia dan Sukan serta tarian perang oleh anggota Batalion Ketiga dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sebagai kelainan, buat julung kali pengunjung juga berpeluang menyaksikan pertunjukan cahaya dron, serta perarakan berkuda diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (pembangunan) Rusdi Yahya yang mengibarkan Jalur Gemilang.

Sebanyak 59 kontinjen membabitkan kakitangan awam dan swasta, institusi pengajian awam, sekolah serta badan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian dalam perarakan itu.

Sambutan diakhiri dengan dengan persembahan bunga api dan tujuh kali laungan merdeka.

-- BERNAMA