Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengiktiraf sumbangan besar syarikat minyak nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kepada ekonomi negeri.

Beliau berkata ini dapat direalisasikan melalui hubungan yang erat antara Sarawak dan kerajaan Persekutuan, serta antara negeri dan Petronas.

Menegaskan keperluan mengenai hubungan yang erat dikekalkan, beliau berkata kerajaan negeri akan melaksanakan pendekatan sama-sama menang dengan kerajaan Persekutuan dan Petronas untuk meraih manfaat yang maksimum daripada industri minyak dan gas.

Katanya, Petronas mencatat kejayaan dalam 43 operasinya dan Sarawak bukan baharu dalam industri minyak dan gas, telah terlibat dalam industri itu selama 107 tahun, sebelum ini dengan Shell dan kini dengan Petronas.

"Menjadi hasrat kami untuk memainkan peranan yang aktif dalam industri tersebut dan saya bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Petronas untuk mendapat manfaat yang maksimum daripada sumber minyak dan gas kami melalui kerjasama ini," katanya dalam ucapan pada majlis pemeteraian kontrak antara Petronas Carigali Sdn Bhd dan Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke di sini pada Jumaat.

Beliau berkata dengan kerjasama sedemikian, negeri dapat merangka masa depannya dan akan terdapat banyak aktiviti minyak dan gas di Sarawak dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.

Mengenai penubuhan syarikat minyak dan gas milik negeri, Abang Johari berkata masih terlalu awal bagi beliau untuk mendedahkan sama ada syarikat itu akan bertindak sebagai kontraktor kepada Petronas atau menjalankan pengeluaran minyaknya sendiri.

"Kami membentuk syarikat minyak negeri sebagai usaha untuk mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran dalam industri minyak dan gas," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Menteri itu mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh Sarawak, Petroleum Sarawak (Petros), dan melantik anggota lembaga pengarah syarikat itu yang terdiri daripada profesional kelahiran Sarawak.

BACA: Penubuhan Petros buktikan kemampuan rakyat Sarawak

BACA: Penubuhan Petros dapat persetujuan Kerajaan Persekutuan - Nancy Shukri


Mereka juga berpengalaman luas dalam industri minyak dan gas, serta tiada seorang pun daripada mereka ahli poilitik.

Ditanya sama ada Akta Pelantar Benua akan mengehadkan Petros dari segi aktiviti pengeluaran minyak, Abang Johari berkata beliau akan menangani isu itu pada masa akan datang.

-- BERNAMA