KUALA LUMPUR :Tindakan keluar parti 200 ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) Ngemah, Sibu baru-baru ini bagaikan satu ‘tamparan’ buat parti baharu itu menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang, kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi.

Menurut penganalisis politik itu, ia mungkin disifatkan sebagai ‘mainan politik’ oleh sesetengah pihak menjelang PRN, namun tindakan ahli PSB untuk menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS) jelas memberi mesej bahawa perlunya penelitian di peringkat akar umbi.  

“Kalau kita lihat tindakan yang dilakukan ahli-ahli PSB yang menyertai PRS, saya kira itu salah satu mainan politik semasa, sama ada sebelum PRN ataupun Pilihan Raya Umum (PRU) berlaku.

“Biasanya ini adalah ciri-ciri bahawa PRN akan diadakan tidak lama lagi.

“Dalam konteks ini, apabila ramai ahli-ahli PSB yang keluar parti, ini menunjukkan terdapat cabaran besar yang perlu PSB hadapi,” katanya ketika dihubungi wartawan Astro AWANI.

BACA: Hilang keyakinan kepada pemimpin, lebih 200 ahli PSB keluar parti

Antara mesej lain ujar Awang Pawi, parti PSB yang dipimpin oleh Datuk Seri Wong Soon Koh itu membuktikan sokongan terhadap parti tersebut belum utuh dan mungkin tidak diterjemah dalam bentuk undi.  

“Maknanya, jumlah sokongan yang mereka terima sebelum ini belum tentu memberikan sokongan penuh buat mereka,” tambahnya.

Perkara ini seterusnya menjurus kepada pemahaman lebih mendalam kalangan ahli, adakah terdapat masalah di peringkat akar umbi atau cabaran dihadapi ketika bernaung di bawah PSB, ujarnya.

“Ini merupakan satu permulaan dalam gerakan politik sebelum PRN dan cabaran PSB ialah untuk memberikan naratif yang betul untuk mendapatkan kembali atau meningkatkan sokongan dengan menggunakan isu-isu yang mampu menarik pengundi setempat,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian mengulas kepada tindakan 200 ahli PSB Ngemah, Sibu yang bertindak untuk menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang dipimpin oleh Presiden, Tan Sri James Jemut Masing.

BACA: Suara ahli pun tidak dilayan, bagaimana PSB mahu bantu rakyat - James Masing

Tindakan tersebut dikatakan berpunca daripada hilang keyakinan oleh ahli parti terhadap PSB yang dilihat tidak mendukung kebebasan bersuara. Ini termasuk mengkritik kelemahan parti itu sendiri.