BAU (Sarawak): Sarawak telah menerima peruntukan berjumlah RM4.46 bilion di bawah projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk meningkatkan liputan kesalinghubungan dan perkhidmatan internet di negeri itu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata jumlah itu merupakan peruntukan tertinggi yang diberikan di bawah projek itu yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"(Daripada keseluruhan jumlah itu) sebanyak RM2.93 bilion melibatkan peruntukan daripada pihak kerajaan manakala baki sebanyak RM1.53 bilion merupakan secara komersial oleh syarikat penyedia perkhidmatan," katanya semasa berucap di program Hari Bersama Komuniti (HBK) Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Krokong, di sini, hari ini.

Menurutnya projek Jendela merangkumi dua fasa bertujuan untuk meningkatkan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan internet yang berkualiti untuk manfaat rakyat, sektor perniagaan dan pihak berkepentingan.

"Sebanyak 864 buah menara telekomunikasi 4G telah dirancang untuk Sarawak menerusi Jendela Fasa 1. Hingga suku kedua 2023, sebanyak 213 menara telah beroperasi, manakala baki 651 menara dijadualkan beroperasi secara berperingkat hingga suku ketiga 2024," katanya.