Sarawak terus mengorak langkah dalam mengejar aspirasi menjadi negeri paling maju menjelang 2030, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, biarpun Sarawak belum mampu mengejar pembangunan seperti di Semenanjung, namun kerajaan pimpinannya terus optimis merealisasikan hasrat tersebut.

“Tidak dapat dinafikan banyak yang sudah dicapai oleh Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia dalam tempoh masa 57 tahun, namun tidak dapat dinafikan juga bahawa Sarawak juga belum lagi mampu mengejar pembangunan khususnya di Semenanjung.

“Apa yang penting bagi Sarawak ialah terus mengorak langkah untuk meletakkan negeri ini di persada pembangunan yang lebih intensif agar mampu menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030,” kata Abang Johari dalam ucapannya sempena sambutan Hari Malaysia 2020 di Sibu.

Tambahnya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinannya sedang berusaha memajukan negeri Bumi Kenyalang dalam bidang berteraskan ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar.

Ia memfokuskan kepada aktiviti pengeluaran; perlombongan; perindustrian perladangan hutan; pelancongan; perkhidmatan; pusat data dan inovasi; infrastruktur dan utiliti; tenaga yang boleh diperbaharui serta pendidikan dan pembangunan sumber manusia.

Justeru beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memahami aspirasi rakyat Sarawak untuk menggunakan hasil buminya untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan di negeri ini.