IPOH:Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Perak di bawah kerajaan sementara atau ‘caretaker’ sehingga lantikan baharu dibuat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di sini sebentar tadi.

“Saya telah berkesempatan untuk menghadap Sultan Perak. Dalam waktu saya menghadap tadi, saya telah sembah maklum berkenaan apa yang berlaku di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi tadi yang mana saya telah sembah maklum bahawa saya telah kehilangan majoriti.

“Tentunya Tuanku Sultan perlu membuat beberapa pertemuan... sehinga Tuanku membuat keputusan untuk memilih seorang dari kalangan ahli Dewan yang mempunyai majoriti yang secukupnya untuk menubuhkan kerajaan.

“Jadi untuk sementara itu, saya akan menjadi (Menteri Besar) bagi ‘caretaker government’,” katanya kepada media di perkarangan Istana Kinta.

LAPOR LANGSUNG: Undi Percaya DUN Perak - Siapa MB baharu?

Beliau dalam masa sama berharap supaya pelantikan penggantinya dapat dilakukan dalam kadar segera selain menggesa rakyat di negeri ini untuk terus bersabar dan bertenang.

Ahmad Faizal sebelum itu memasuki Istana Kinta di sini sekitar jam 5.15 petang tadi.

Beliau yang menaiki kenderaan rasmi dilihat sempat melambai ke arah media sebelum memasuki pintu masuk istana tersebut.

Dilihat bersama beliau dalam kenderaan itu adalah Pegawai Khas Kanan beliau, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.