PUTRAJAYA:Semua sekolah dan Kolej Vokasional di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan ditutup, bermula 9 November ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Arahan itu turut terpakai kepada negeri-negeri yang tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan COVID-19, iaitu Perlis, Kelantan, Pahang dan Sarawak.

Penutupan itu akan berterusan sehingga hari akhir persekolahan mengikut Takwim 2020, iaitu 17 Disember bagi negeri kumpulan A, dan 18 Disember bagi negeri kumpulan B.

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

"Pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Di sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing,” katanya pada satu sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Bagi pelajar yang tinggal di asrama pula, Mohd Radzi berkata, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, jelasnya lagi, pelajar boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu ibu bapa atau penjaga mereka.

“Sepanjang tempoh tersebut, murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, tarikh pembukaan semula sekolah masih mengikut Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021, iaitu pada 20 Januari, 2021. 


Semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut.

Bagi sekolah menengah pula, pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama.

"Manakala, murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

"Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021," katanya.

Mengambil kira situasi semasa, Mohd Radzi berkata, pindaan dibuat terhadap tarikh peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Peperiksaan SPM/SVM/STAM akan bermula pada 22 Februari 2021.

"Manakala, peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021.

"Perincian tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat," katanya.

Bagi membantu calon-calon peperiksaan awam membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, KPM memutuskan mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah masing-masing mulai 20 Januari 2021.

KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah, katanya.

Sementara itu, bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, pihak pentadbiran disaran turut mengikuti ketetapan yang dibuat hari ini.