Serbuan dan rampasan ke atas kitab Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Selasa telah mencabul kebebasan beragama di negara ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya menyifatkan serbuan haram yang dilakukan oleh JAIS itu adalah sesuatu yang sangat menyedihkan dan mengejutkan terutama dalam perpaduan dan solidarity Malaysia sepangjang tempoh 50 tahun.

“Tidak keterlaluan kalau disebut bahawa serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh JAIS serta rampasan ke atas Bible berbahasa Melayu dan Iban itu sebagai tamparan terhebat terhadap perpaduan dan proses pembentukan negara Malaysia yang telah berlangsung selama 50 tahun serta mampu menimbulkan perpecahan, pertelagahan dan malah menggoyangkan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menambah tindakan yang dilakukan oleh JAIS itu juga sebagai satu “serangan agresif” terhadap hubungan antara agama di Malaysia.

Justeru itulah rakyat Sarawak dan Sabah, termasuk daripada kem Barisan Nasional, memberikan reaksi keras terhadap serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh Jais ke atas Persatuan Alkitab Malaysia (BSM) serta rampasan ke atas Alkitab berbahasa Melayu dan Iban.

“Sebagai contoh, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr. James Masing secara tidak berlapik telah mengecam sikap “penakut” dan “berhati-hati secara keterlaluan” para pemimpin kerajaan pusat dalam menangani isu kalimah Allah dengan memperkenalkan “dasar yang tidak munasabah demi memuaskan hati setiap orang,” katanya lagi.

Menurut beliau, menteri-menteri Kabinet “seharusnya bersikap berani dalam mengambil pendirian dan memberikan kata putus peraturan keagamaan mana yang perlu dipatuhi oleh rakyat Malaysia.”

Serbuan itu “menggambarkan sebuah dasar yang tersasar,”.

“Tidak wajar untuk sebuah negara mengamalkan dua jenis undang-undang keagamaan untuk isu yang sama. Pendekatan ini tidak akan berhasil. Ia tidak mungkin berhasil. Para pemimpin Malaysia perlu memberikan kata putus peraturan keagamaan mana yang perlu dipatuhi rakyat Malaysia. Cara ini lebih jelas untuk rakyat Malaysia. Peraturan berkenaan harus diterapkan untuk semua, sama ada bagi yang tinggal di Lubok Antu (di Sarawak), Pulau Penyu (Sabah) atau pun Kuala Perlis,” tegas Kit Siang lagi.

Oleh hal demikian, beliau menggesa agar pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat perlu bertemu dalam tempoh seminggu dua ini dalam membincangkan agenda dan pelan induk Perpaduan Nasional bagi membina semula perpaduan seperti yang dicanangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tiada siapa menaruh harapan tinggi pada Majlis Perundingan Perpaduan Negara untuk memberi sebarang impak penting, khususnya apabila dalam tempoh kurang daripada 48 jam Perdana Menteri menyampaikan Perutusan Tahun Baru 2014, Malaysia terjerumus ke dalam salah satu babak perpecahan dan pertelagahan paling buruk sehingga menimbulkan persoalan tentang jaminan kebebasan beragama yang diberikan perlembagaan serta semua persoalan hak asasi yang lain,” kata Kit Siang lagi.

Perdana Menteri tidak kelihatan dan suaranya tidak kita dengar. Rakyat Malaysia tidak tahu sama ada beliau berada dalam negara atau di luar. Timbalan Perdana Menteri menyimbah minyak ke dalam api, manakala para Menteri Kabinet semua menyembunyikan diri.

“Kerajaan tampaknya hilang punca untuk membina semula perpaduan nasional, maka saya mencadangkan supaya diadakan pertemuan antara pemimpin-pemimpin tertinggi Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk membincangkan agenda dan pelan induk Perpaduan Nasional bagi membina semula perpaduan nasional,” gesanya pula.

Kini terserah kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri Barisan Nasional untuk mengambil langkah yang wajar.