PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memandang serius sebarang isu melibatkan tatakelola, rasuah atau salah laku yang boleh menjejaskan tahap perkhidmatan dan imej industri perkhidmatan air negara.

Merujuk kepada penahanan dua pegawai kanan syarikat pembekalan air di Johor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa lepas, SPAN memaklumkan selaku agensi yang mengawal selia industri perkhidmatan air negara, agensi itu mengamalkan 'Toleransi Sifar' terhadap amalan rasuah serta salah guna kuasa dalam industri perkhidmatan air.

"SPAN ingin menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab lembaga pengarah dan pengurusan atasan syarikat perkhidmatan bekalan air untuk memastikan organisasi mengamalkan tahap integriti dan etika tertinggi serta kawalan dalaman terbaik seperti yang ditetapkan dalam syarat khas lesen yang mewajibkan pematuhan kepada Rangka Kerja Integriti dan Anti Rasuah," menurut SPAN dalam kenyataan hari ini.

SPAN turut memohon organisasi berkaitan untuk mematuhi segala akta dan peraturan yang termaktub dan menegaskan akan mengambil tindakan tegas berdasarkan akta dan bidang kuasanya ke atas mana-mana individu atau organisasi yang disyaki melakukan sebarang ketidakpatuhan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

"SPAN juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam usaha untuk memastikan industri perkhidmatan air negara bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Selasa lalu, SPRM menahan dua pegawai kanan sebuah syarikat pembekalan air di Johor kerana dipercayai telah menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta daripada dua pemilik syarikat kontraktor.

Menurut laporan media, siasatan dibuat berdasarkan beberapa aduan pada tahun lalu iaitu menerima wang rasuah daripada pemilik dua syarikat kontraktor sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan, daripada syarikat pembekalan air tersebut.

Kedua-dua suspek juga terlibat dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berhubung permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

-- BERNAMA