KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dirombak secara besar-besaran bagi memulihkan keyakinan dan memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International.

Menurut Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, SPRM dilihat gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka selepas pendedahan saksi mahkamah melibatkan kes Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan Bestinet.

"Saksi daripada UKSB telah mendedahkan dia telah memberikan wang kepada beberapa Menteri dan termasuklah seorang bekas Perdana Menteri.

"Saksi ini adalah saksi pihak pendakwaan maka saksi juga adalah saksi SPRM sendiri, bagaimana SPRM boleh berlagak bahawa mereka tidak tahu tentang perkara ini dan hanya menyatakan akan membuka siasatan selepas perkara ini didedahkan di mahkamah dan setelah ditekan orang awam.

Sabtu lalu, SPRM menyatakan akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang dikatakan menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

BACA: Dana politik: SPRM siasat nama yang disebut dalam kes Zahid Hamidi

SPRM dalam kenyataan berkata, agensi itu juga mengesahkan sudah menerima beberapa aduan terhadap individu terbabit yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

"Takkan SPRM tidak tahu? Jika Zahid Hamidi didakwa di mahkamah kerana terima rasuah, mengapa mereka yang lain yang terima wang daripada UKSB tidak didakwa? Kalau Zahid Hamidi bersalah terima rasuah, mereka yang lain juga turut salah,"  katanya dalam satu muat naik di Facebook, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa SPRM sememangnya dijadikan senjata politik untuk manfaat pihak berkuasa.

"Adakah SPRM tidur atau sengaja mahu menutup perkara ini? Jika benar, lebih baik SPRM tukar nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kepada Suruhanjaya Penutup Rasuah Malaysia.

"Tindakan SPRM sebegini rupa sangat mengecewakan dan jelas bahawa terdapat amalan dua darjat dan pilih kasih yang dilakukan oleh SPRM,"  ujanya.

Seorang saksi sebelum ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa UKSB memberi dana sebanyak RM1.3 juta kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2018.

Bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid ketika lejar syarikat itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN).

Selain Muhyiddin, antara ahli politik lain yang disebut namanya sepanjang prosiding ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.