KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan Surat Setuju Terima (SST) untuk projek pembinaan jalan di sepanjang jajaran Ulu Skrang, Sarawak dijangka dikeluarkan pada Disember tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata projek diluluskan dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu dengan kos RM28.5 juta kini dalam peringkat perolehan.

"Berkenaan projek projek pembinaan jalan di sepanjang jajaran Ulu Skrang, Sarawak, fasa kedua telah diluluskan di bawah RMK-11. Status projek pada ketika ini dalam peringkat perolehan dan dijangka dikeluarkan surat SST pada Disember ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jugah Anak Muyang @ Tambat (Bebas-Lubok Antu) mengenai status pembinaan jalan di kawasan itu dan juga di Ulu Batang Ai.

Mengulas mengenai pembinaan jalan sepanjang jajaran di Ulu Batang Ai, Mahdzir berkata, projek diluluskan dalam Rolling Plan Keempat RMK-11 dengan kos RM187.5 juta itu kini dalam proses lantikan perunding juruukur, jurutera awam dan struktur serta perunding alam sekitar.

Menjawab soalan tambahan Jugah yang ingin tahu status pembinaan jalan di Jalan Lidong, Sri Aman, beliau berkata projek diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat RMK-11 itu dengan kos RM63 juta melibatkan pembinaan jalan sepanjang 10.5 kilometer.

"Status semasa, sedang dalam peringkat reka bentuk dan dijangka ditender pada Februari 2022," katanya