SHAH ALAM: Ketua Penolong Pegawai Daerah Tanah Sepang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan melibatkan wang suapan sejumlah RM7,000 bagi membantu sebuah syarikat kontraktor mendapatkan projek penurapan semula jalan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Asraf Redzuan, 39, didakwa meminta rasuah sejumlah RM5,000 daripada Nor Samsyul Serian, 44, dan RM2,000 sebagai upah secara berasingan pada 11 November 2020 dan 24 Februari 2021. 

Suapan itu adalah sebagai dorongan bagi membantu syarikat Delima Teguh Enterprise mendapatkan kerja-kerja menurap semula Lorong Orkid 4 dan Lorong Kenanga 1, Kampung Batu 10, Kebun Baru, Daerah Kuala Langat dengan harga kerja RM95,362.80.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan dua syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Mohd Aliff Shahruzaman manakala tertuduh diwakili Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri.