KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di bawah kepimpinan pengerusi baharunya, Prof Datuk Rahmat Mohamad akan terus memantau dan menasihatkan kerajaan dalam isu hak asasi manusia.

Menurut Rahmat, pihaknya akan memastikan isu kemudahan asas seperti pendidikan, perkhidmatan perubatan dan sekuriti sosial di Malaysia boleh diakses semua golongan, tidak langsung eksklusif kepada mana-mana pihak.

Tegasnya, Suhakam dari semasa ke semasa akan terus bersuara selagi mana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

BACA: Pakar perundangan Prof Dr Rahmat Mohamad dilantik pengerusi baharu Suhakam

“Suhakam juga memandang serius isu golongan rentan di Malaysia yang terkesan secara langsung dengan pandemik seperti keciciran pendidikan di kalangan anak-anak warga Malaysia serta anak-anak yang tidak mempunyai dokumen.

“Ini selaras dengan SDG (Matlamat Pembangunan Mampan) yang menjamin hak bagi mendapat pendidikan yang saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Webinar Hari Suhakam 2022 : Kepentingan Mengutamakan Hak Asasi Ekonomi, Sosial Dan Budaya (ESCR) Dalam Menyokong Pemulihan Negara Dan Masyarakat Di Malaysia pada Jumaat.

Selain isu tersebut, Suhakam juga akan memberi tumpuan kepada masalah inflasi yang dilihat terus menekan golongan B40 dan memastikan setiap bantuan kerajaan sampai ke akar umbi.

AWANI Ringkas: Aktif politik, boleh sertai SUHAKAM

Tambah Rahmat, isu pekerjaan juga akan menjadi fokus pihaknya memandangkan ramai rakyat Malaysia hilang pekerjaan akibat pandemik.

Dalam pada itu, beliau berkata Suhakam menyambut baik tindakan kerajaan yang melakukan penambahbaikan terhadap perundangan negara yang melibatkan pekerja dan majikan.

Menurutnya, antara yang ditambah baik ialah pindaan kepada Akta Kerja 1955, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan rang undang-undang Anti Gangguan Seksual 2021 yang diluluskan Parlimen.

“Bagi memastikan keterangkuman semua individu termasuk pekerja asing, Suhakam menyeru kerajaan Malaysia tambah anggota penguatkuasa pekerjaan bagi memantau aktiviti majikan serta mengetatkan lagi sempadan negara.

“Dalam hal ini, Suhakam membantu menasihat kerajaan bagi membendung isu pemerdagangan manusia terutamanya bagi kes buruh paksa,” ujarnya.