KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 14 Oktober ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak supaya pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun terhadapnya bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh berkenaan ketika prosiding pengurusan kes di Mahkamah Tinggi hari ini.
Najib memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.
Hukuman penjara 15 tahun terhadap bekas perdana menteri itu diperintahkan bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara dalam kes SRC International.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam hadir mewakili pihak pendakwaan, manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi pihak Najib.
Sementara itu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.50 pagi bersama dua anak lelakinya.
Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, turut tiba di kompleks mahkamah kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ketika ditanya pemberita mengenai bilakah denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat bapanya akan dibayar, Nooryana Najwa hanya tersenyum sebelum menjawab ringkas, “I don’t know" (saya tidak tahu).
Beliau turut ditanya sama ada jumlah RM50 juta yang disyaratkan bagi pengampunan berkenaan sudah mencukupi atau sebaliknya, namun tidak memberi sebarang reaksi lanjut.
Pada 26 Dis 2025, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah, mendapati Najib bersalah atas kesemua empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.
Pada 18 Sept lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.