IPOH: Seorang bekas pengarah sebuah syarikat kerugian RM381,890 selepas terpedaya dengan skim sindiket penipuan 'Pelaburan Interpol/FS' menerusi aplikasi WhatsApp sejak Mac 2021.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata wanita berusia 63 tahun itu membuat laporan semalam apabila menyedari dirinya telah ditipu oleh skim pelaburan berkenaan.

"Mangsa mula mengenali suspek wanita yang memperkenalkan diri sebagai pentadbir kumpulan Interpol Skim Pelaburan Cepat Kaya menerusi aplikasi WhatsApp pada 2 Mac 2021.

"Setelah itu, mangsa telah diperkenalkan pula dengan seorang lagi wanita yang mengaku sebagai pemilik Interpol. Mangsa tidak pernah berjumpa dengan kedua-dua suspek dan hanya berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp sahaja," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata kedua-dua suspek dikatakan mendorong mangsa untuk membuat bayaran bagi menyertai skim pelaburan cepat kaya yang menjanjikan pulangan wang hampir setiap minggu jika berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Mohd Yusri berkata mangsa telah melakukan sebanyak 112 transaksi ke akaun suspek dari 2 Mac 2021 hingga 28 Ogos 2022 dengan anggaran kerugian berjumlah RM381,890.

Beliau berkata mangsa tidak pernah menerima sebarang pulangan wang seperti yang dijanjikan setelah hampir tiga tahun menyertai skim pelaburan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Semalam, Mohd Yusri berkata seorang wanita warga emas berusia 69 tahun, yang merupakan pesara guru, mengalami kerugian sebanyak RM442,947 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud menerusi media sosial sejak Ogos tahun lepas.

-- BERNAMA