KUALA LUMPUR: Tindakan pro-aktif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjalankan langkah pencegahan dan kawalan telah memberikan perkembangan yang baik apabila tiada kes positif COVID-19 dilaporkan di negeri Perlis hari ini.

Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun pada 13 Mac lalu negeri itu melaporkan 29 kes baharu COVID-19, jumlah tertinggi dicatatkan sejak pandemik melanda negara.

"Peningkatan kes yang mendadak ini disebabkan pengesanan aktif daripada Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Persiaran Wawasan.

"Kluster ini telah diumumkan pada 7 Mac 2021 hasil saringan tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di DTI tersebut.

"Seramai 263 individu melibatkan 102 orang tahanan PATI dan 161 orang anggota Jabatan Imigresen telah disaring. Daripada jumlah itu, sebanyak 89 orang disahkan positif COVID-19 bersamaan 33.8 peratus," jelasnya dalam kenyataan media pada Ahad.

Manakala 173 orang lagi negatif bersamaan 65.8 peratus dan seorang lagi tidak konklusif bersamaan 0.4 peratus dan akan disaring semula. Daripada jumlah keseluruhan 89 positif itu, 85 kes melibatkan bukan warganegara dan empat kes adalah warganegara.

"Kesemua kes tersebut dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah dan Pusat Kuarantin Risiko Rendah (PKRC) COVID-19 Institut Latihan Kementerian Kesihatanm Malaysia (ILKKM) untuk rawatan lanjut.

"Punca jangkitan dalam kluster DTI Persiaran Wawasan berkemungkinan daripada tahanan PATI yang ditahan di DTI atau komuniti. Keadaan sel yang sempit dengan jumlah tahanan yang ramai menyebabkan penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan berlaku secara mendadak," katanya lagi.

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis jelas Dr Noor Hisham lagi, turut mengambil beberapa langkah termasuk membuat siasatan dan pengesanan kontak rapat kes-kes tersebut.

Turut dijalankan ujarnya, penutupan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) selama 10 hari di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi tujuan siasatan kluster dan aktiviti basmi kuman.