MALAYSIA
Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam protes di Los Angeles - Kementerian Luar

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya menjauhi kawasan protes yang aktif dan kawasan berisiko tinggi serta bersedia menghadapi kemungkinan gangguan lalu lintas, termasuk penutupan lebuh raya. - Foto REUTERS
PUTRAJAYA: Kementerian Luar memaklumkan pada Khamis bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas susulan protes yang sedang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Ringkasan AI
- Kementerian Luar Malaysia mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam protes di Los Angeles, Amerika Syarikat.
- Rakyat Malaysia dinasihatkan berwaspada, patuhi undang-undang tempatan, dan elak kawasan protes serta berisiko tinggi.
- Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles kekal beroperasi dan sedia memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia di kawasan terjejas.
"Perintah berkurung telah diisytiharkan di kawasan seluas satu batu persegi di sekitar pusat bandar Los Angeles dari pukul 8 malam hingga 6 pagi, dan pihak penguat kuasa undang-undang melakukan tangkapan ke atas mereka yang melanggar arahan ini.
Bangunan pejabat Konsulat Jeneral yang terletak dalam kawasan perintah berkurung kekal dibuka dan beroperasi seperti biasa," menurut kenyataan itu.
Kementerian turut memaklumkan bahawa perhimpunan hujung minggu lazimnya menarik kehadiran lebih ramai peserta, justeru rakyat Malaysia dinasihatkan supaya lebih berhati-hati pada waktu berkenaan.
Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya menjauhi kawasan protes yang aktif dan kawasan berisiko tinggi serta bersedia menghadapi kemungkinan gangguan lalu lintas, termasuk penutupan lebuh raya.
"Memandangkan keadaan yang sentiasa berubah dengan cepat, amat penting untuk mendapatkan maklumat terkini melalui laporan berita tempatan secara masa nyata," menurut kenyataan itu.
Rakyat Malaysia di kawasan terjejas turut digalakkan supaya mendaftar dengan Konsulat Jeneral bagi membolehkan mereka menerima makluman dan bantuan dengan segera sekiranya diperlukan.
Untuk sebarang bantuan konsul, Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles boleh dihubungi di talian +1-213-892 1238 pada waktu pejabat, atau +1-626-630 8090 selepas waktu pejabat. Pertanyaan juga boleh dikemukakan melalui e-mel ke alamat [email protected].
Kementerian Luar memaklumkan bahawa ia akan terus memantau perkembangan di sana dan mengeluarkan makluman terkini dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami