Polis percaya salah seorang suspek kes samun yang maut selepas merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di persimpangan lampu isyarat di Banting semalam berkemungkinan besar adalah warga asing.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata meskipun laporan awal mempercayai bahawa empat suspek tersebut adalah warga tempatan, namun berdasarkan tanda pada tubuh badan suspek yang meninggal dunia itu, tidak ditemui sebarang tanda suntikan BCG yang selalunya terdapat pada badan warga tempatan.

“Kita sudah memeriksa identiti kecuali cap jari si mati sahaja yang masih belum dapat kita sahkan tetapi berdasarkan tubuh badannya itu, kita dapati suspek tiada suntikan BCG dan kemungkinan besar suspek ini adalah warga asing,” kata Abd Rahim pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini tadi.

Malah, tambahnya lagi, motosikal yang digunakan oleh suspek juga telah diubahsuai nombor casis enjinnya.

“Kita akan meminta bantuan Bukit Aman untuk memeriksa motosikal tersebut menggunakan teknik “etching” – satu proses untuk mengembalikan nombor asal casis tersebut.

Dalam masa sama juga, polis kian menggiatkan langkah mereka untuk memburu tiga lagi suspek yang melarikan diri selepas kemalangan tersebut.

Semalam, empat lelaki melarikan barang kemas bernilai RM300,000 selepas merompak sebuah rumah teres di Kota Warisan di Sepang pada jam 10 pagi.

Namun, seorang dari suspek tersebut maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Banting.

Pembonceng motosikal dan dua lagi suspek berjaya melarikan diri.

Kes disiasat dibawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata.