Peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak mahu membuktikan kepada mahkamah bahawa dakwaan pecah amanah berjumlah RM6.63 bilion itu merupakan satu bentuk 'kebodohan' semata-mata.

Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika mengulas enam pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan yang dikenakan ke atas anak guamnya Najib dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

"Enam pertuduhan dikenakan ke atas kedua-dua Najib dan Mohd Irwan, berkaitan kewangan tertentu yang dikhususkan untuk membuat pembayaran. Ia merupakan satu keputusan eksekutif. Setakat ini, kami tidak sabar menanti perbicaraan berhubung enam pertuduhan ini.

"Pejabat Peguam Negara telah merangka dakwaan ini. Saya rasa ia satu tindakan bodoh untuk mengenakan enam pertuduhan, kerana, ia mempertikaikan proses membuat keputusan eksekutif oleh menteri kewangan dan ketua setiausaha Perbendaharaan," katanya.

Bercakap kepada media selepas bekas perdana menteri dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan itu didakwa di mahkamah di sini, hari ini, Muhammad Shafee berkata, pihak pendakwa raya perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa tuduhan itu benar-benar berasas

"Pembelaan akan menunjukkan bahawa wang yang dibayar dalam kes pecah amanah jenayah itu sebenarnya dibuat untuk mengelak negara gagal membayar hutang.

"Bayaran berkenaan juga hanyalah peruntukan semula daripada peruntukan bajet kerajaan. Itu pun menjadi jenayah?" soalnya.




Jelasnya, empat pertuduhan melibatkan Internation Petroleum Investment Company (IPIC) sementara dua lagi berkaitan projek infrastruktur seperti ECRL dan saluran paip gas di Semenanjung dan Sabah.

Muhammad Shafee menegaskan, pihak defendan juga sangat bersedia untuk meneruskan perbicaraan itu dan berkemungkinan akan membawanya ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Najib dan Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6,636,065,000.

Kedua-duanya, yang meminta untuk dibicarakan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan bersama-sama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.

Mahkamah membenarkan Najib dan Mohd Irwan Serigar masing-masing membayar ikat jamin RM1 juta setiap seorang, dengan RM500,000 diselesaikan hari ini dan selebihnya dalam tempoh 10 hari dari hari ini.