KUALA LUMPUR : Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada esok, iaitu Rabu (10 April 2024).

Pengumuman itu dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu 10 April 2024."

Terdahulu, aktiviti cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang tadi.

Cerapan anak bulan dikendalikan Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan mufti negeri dan ahlinya, merangkumi pakar falak, alim ulama, pegawai falak berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Maklumat rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia, terbitan JUPEM.

Esok raya!!! Hari Raya Aidilfitri diisytiharkan Rabu 10 April 2024