Peralihan hanya 3 peratus undi kepada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat sudah cukup untuk jadi penentu parti mana yang akan membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum ini, kata penganalisis politik Ibrahim Suffian.

Pengarah badan kajian bebas Merdeka Center itu berpendapat biarpun pusingan akhir kempen akan memberi kesan yang hanya sedikit ke atas sejumlah kecil pengundi yang belum membuat keputusan, setiap undi adalah mustahak.

"Dalam senario semasa iaitu apabila kita tidak pasti pihak mana yang jelas mendahului, mana-mana pihak yang dapat mengalih tiga peratus undi sudah cukup (untuk menang dan membentuk kerajaan)," kata Ibrahim.

Beliau juga berpendapat kumpulan yang akan jadi penentu keputusan pilihan raya ini ialah golongan pengundi muda dan wanita, dan hanya kurang 5 peratus daripada mereka yang belum membuat keputusan.

Jelas Ibrahim, secara keseluruhannya pengundi muda Melayu tidak menyokong BN tetapi ibu bapa mereka kebanyakannya memihak kepada kerajaan.

"Jadi secara puratanya, tidak akan ada perubahan yang drastik dalam undi daripada pengundi Melayu kerana ada timbal balik," katanya.

Sokongan pengundi Cina sebaliknya dilihat cenderung memihak kepada pembangkang.

"Di beberapa tempat terutamanya di kawasan bandar, sokongan itu sudah memuncak. Di bandar-bandar kecil di Johor, Negeri Sembilan dan Pahang, kita boleh lihat peningkatan sokongan (kaum Cina)," katanya.

Menurut Ibrahim, pengundi India pula kebanyakannya sudah mengalihkan sokongan kepada BN selepas Hindraf berpecah.

"Kata sepakat antara Hindraf dan BN baru-baru ini mempunyai kesan yang kecil sebenarnya kerana pengaruh gerakan itu sudah tidak sama lagi seperti pada 2007. Masyarakat India sudah beralih kepada BN dan akan kekal menyokong BN.

Jelas Ibrahim, kaji selidik pihaknya di lapangan mendapati secara purata sokongan terhadap BN di seluruh negara ialah antara 52 hingga 55 peratus.

"Sokongan kaum Cina kepada BN ialah antara 25 hingga 30 peratus manakala sokongan orang Melayu pula antara 58 hingga 62 peratus," katanya, sebelum menambah angka itu adalah daripada kajian yang dibuat pada Mac.