Kuala Lumpur: Wanita hamil digalakkan untuk mengutamakan pengambilan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech atau Moderna berbanding vaksin lain.

Menurut pakar Obstetrik, Ginekologi & Feto-Maternal, Dr Jamiyah Hassan, ini adalah kerana kedua dua vaksin berkenaan mempunyai data yang lengkap dan terperinci mengenai keselamatan dan kesan kesihatan kepada ibu yang hamil.

Berbeza dengan penggunaan vaksin lain seperti AstraZeneca dan Sinovac, menurut beliau, kedua-dua vaksin ini masih tidak mempunyai data yang lengkap buat ibu hamil namun untuk dewasa dan warga emas ia terbukti berkesan.

"Vaksin AstraZeneca mempunyai tahap keberkesanan yang tinggi namun untuk wanita hamil kita perlu tunggu kajian lanjut (mengenai) vaksin ini kerana ia menggunakan adenovirus cimpanzi (ChAd) sebagai vektor vaksin. Untuk vaksin AstraZeneca pula, bagi wanita hamil kami sarankan tunggu dulu.

"Manakala Pfizer dan Moderna menggunakan vaksin mRNA dan ia mempunyai data lengkap bagi ibu hamil. Jadi ia ada data keselamatan untuk mereka yang sedang hamil," kata beliau ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi pada Khamis.

Pfizer sebagai contoh, jelas beliau, telah melakukan kajian ke atas lebih 35,000 wanita manakala vaksin Moderna telah dilakukan ujian ke atas lebih 25,000 wanita.

Data ini juga, kata Dr Jamiyah, menunjukkan tiada kesan sampingan yang teruk kepada kesihatan wanita dan bayi mereka.

Sehubungan itu, Dr Jamiyah berkata, ibu yang hamil tidak perlu takut untuk mengambil suntikan vaksin memandangkan pelbagai data menunjukkan ibu yang mengambil vaksin dapat melahirkan anak dengan selamat.

"Data dari Amerika Syarikat juga menunjukkan ibu hamil yang ambil vaksin COVID-19 ini melahirkan anak dalam keadaan sihat dan tiada masalah ketara.

"Daripada kajian ini kita ambil iktibar dan kita mempunyai data lebih kukuh untuk mengatakan wanita hamil boleh ambil vaksin," katanya lagi.

Bagaimanapun, Dr Jamiyah mencadangkan, rundingan dan penjelasan diperlukan terlebih dahulu kepada mereka sebelum divaksin.

Bercakap mengenai pengambilan vaksin juga, beliau menyarankan agar wanita hamil tidak takut untuk mengambil vaksin ketika hamil.

Katanya, ini adalah kerana antibodi melawan COVID-19 yang terbentuk susulan pengambilan vaksin itu juga akan diterima oleh anak mereka kelak.

"Tujuan kita beri vaksin agar mereka dapat hasilkan antibodi, jadi bila ibu dapat hasilkan antibodi, sudah tentu antibodi itu akan dipindahkan ke bayi mereka ketika dalam kandungan.

"Ada data menunjukkan antibodi boleh sampai ke janin dan bayi boleh dilindungi dan data awal ini amat memberangsangkan dan beri keyakinan kepada kita untuk meyakinkan wanita hamil untuk terima vaksin," jelas Dr Jamiyah.

Sementara itu, bagi individu yang merancang kehamilan pula, Dr Jamiyah berkata, tiada data lagi menunjukkan pengambilan vaksin akan menghalang serta melambatkan wanita untuk hamil.

"Kajian Pfizer terhadap lebih 35,000 wanita dan Moderna lebih 25,000 wanita tiada data menunjukkan mereka tidak boleh hamil selepas divaksin.

"Kita perlu lihat kepada data dan percaya kepada data ini dan semestinya kajian lebih lanjut akan diperlukan," katanya.


AWANI Pagi: Ibu hamil dan vaksin COVID-19 | 3 Jun 2021