Kerajaan masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina berhubung dakwaan seorang rakyat Malaysia dipenggal militan Abu Sayyaf di Mindanao, semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa Filipina berhubung laporan tersebut.

"Itu berita dari Mindanao tapi secara rasminya kita masih belum dapat mengesahkan perkara itu dan saya telah meminta Ketua Polis Negara untuk mendapatkan maklumat sah dari pihak berkuasa Filipina.

"Walaupun maklumat risikan ada kesahihan tapi kita kena sahkan secara rasmi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pada 15 Mei lalu, Bernard Then Ted Fen, 39, berasal dari Sarawak diculik kumpulan militan Abu Sayyaf bersama pengurus restoran, Thien Nyuk Fun, 50, dari restoran Ocean King Seafood di Sandakan, Sabah.

Thien dibebaskan pada 8 November lalu, namun Then dipercayai dibunuh dan dipenggal kumpulan itu kira-kira jam 4 petang semalam.