Azmin kenapa nak kritik di media sosial? - Shamsul Iskandar

Mohamed Azmin pada Jumaat lepas menggesa Anwar meneliti semula pelantikan jawatan utama parti yang pada pandangannya tidak mencerminkan kehendak anggota akar umbi. Foto: Bernama
Susulan kritikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap lantikan Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden PKR, pemimpin PKR Melaka menggesa kritikan disalurkan menggunakan saluran dalaman dan bukan media sosial.
Memetik laporan Bernama, Ketua Penerangannya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, dengan menggunakan saluran dalaman yang sepatutnya dan bukan media sosial, isu berbangkit mampu diselesaikan secara baik menerusi musyawarah dan permuafakatan.
Bagaimanapun pada masa sama, beliau tidak menganggap perselisihan pendapat secara terbuka antara pemimpin PKR akan melemahkan parti.
Shamsul Iskandar yang juga Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbezaan pendapat secara terbuka di antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pelantikan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata gandingan Anwar dan Mohamed Azmin adalah yang terbaik dan diyakini anggota akar umbi untuk menerajui parti.
Dalam kenyataan balasnya Anwar berkata lantikan yang diumumkan itu bertujuan memastikan PKR bersifat inklusif sedangkan Mohamed Azmin tidak mahu orang-orang tertentu berada dalam barisan kepimpinan parti.
Anwar turut menasihati Mohamed Azmin agar menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

