Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berada di belakang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga tamat penggal ini sekiranya wujud gerakan untuk menjatuhkan beliau dalam Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, demi kestabilan negara dan ekonomi, semua Ahli Parlimen BN jamin akan memberikan sepenuh sokongan dan keyakinan kepada Dr Mahathir untuk menjalankan tugasnya demi kepentingan rakyat Malaysia.

“Saya memberikan sepenuh sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya akan datang, sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba untuk menjatuhkannya.

“Demi kestabilan negara dan ekonomi, kesemua Ahli Parlimen BN akan menyatakan sokongan, kami mahu Perdana Menteri kita (Dr Mahathir) untuk terus mentadbir Malaysia dan melaksanakan tanggungjawab beliau untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, pada Selasa.

Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan turut membidas tindakan pimpinan PH melabelkan Dr Mahathir sebagai seorang diktator.

BACA: Gelaran 'bekas diktator' itu adalah fakta, kata Nurul Izzah

“Saya pernah bekerja di bawah pentadbiran Dr Mahathir selama 20 tahun, tuduhan yang mengatakan beliau seorang diktator sangat tidak masuk akal.

"Saya tak ada masalah pun dalam tempoh 20 tahun itu, jadi kenapa sekarang timbul isu diktator, malah dibangkitkan sendiri oleh mereka dalam PH... kurangkanlah politik sesama sendiri.

“Wakil rakyat BN sesama kita harapkan kepimpinan yang ada sekarang, termasuk Perdana Menteri kekal. Kalau kedudukan Perdana Menteri tergugat, saya yakin rakan-rakan di dalam BN akan bersama Dr Mahathir.

"Sebab itu saya harap masalah dalaman sesama mereka dapat dikurangkan, isu diktator dan sebagainya tidak membantu kita untuk memulihkan ekonomi, menstabilkan kerajaan, dan tidak membantu koordinasi kementerian untuk dilihat sebagai kerajaan yang dapat diterima baik oleh dunia,” ujarnya.

BACA: "Ya saya seorang 'diktator', saya juga pendengar yang baik" - Tun Mahathir

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan terbuka menyatakan UMNO sedia menyokong Dr Mahathir dalam isu yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, sokongan UMNO itu bagaimanapun bergantung kepada situasi dan keadaan semasa negara.

BACA: Kalau Tun Mahathir 'diktator', bagaimana pula dengan 10 pemimpin ini?