KUALA LUMPUR: Dakwaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan disifatkan sebagai fitnah melulu yang jelek, keterlaluan dan tidak masuk akal.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fitnah jahat itu disambut pula oleh beberapa tokoh Pakatan Harapan (PH) termasuk yang berjawatan di dalam kerajaan.

"Justeru saya mengingatkan pemimpin PH dan konco-konco gabungan itu supaya tidak mengheret institusi Raja Berperlembagaan dalam taktik fitnah politik yang jahat dan kotor itu," katanya dalam perkongsian di Facebooknya di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu turut meminta pemimpin PH supaya berhenti memainkan fitnah semata-mata untuk menutup kelemahan dan kegagalan sendiri.

Katanya, beliau yakin pihak yang membuat dan menyebar fitnah itu melakukan kesalahan berat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

Susulan itu katanya, satu laporan polis dibuat Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung PN supaya individu-individu yang berkenaan disiasat dan diambil tindakan tegas.

Beliau memberitahu, Malaysia mempunyai peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan cara-cara serta kaedah yang sah dalam pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan Kerajaan.

"Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebuah kerajaan dibentuk samada melalui pilihan raya atau di luar pilihan raya, iaitu apabila atas apa jua sebab Perdana Menteri meletakan jawatan.

"Peruntukan Perlembagaan ini mestilah dipatuhi dalam menentukan sebarang pembentukan atau pertukaran kerajaan," tambahnya.

Sebelum ini tular dalam sebuah blog bahawa seorang pemimpin PN cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong bagi menukar kerajaan.