Debat antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dengan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di dewan MRSM Sultan Azlan Shah pada 25 Mac ini akan diteruskan.

Mohamed Nazri berkata, beliau sudah mengarahkan Setiausaha UMNO bahagian Padang Rengas bagi membantu penganjur mendapatkan permit polis.

Menurutnya lagi, tidak timbul isu tidak boleh menggunakan kemudahan sekolah untuk aktiviti di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana ini bukan perhimpunan.

"Program ini tidak ada kena mengena dengan Akta Perhimpunan Aman kerana kita bukan adakan demonstrasi.

"Saya yang bentang akta ini (APA 2012) saya tahu...apa yang kita nak adakan ini wacana bukan demonstrasi. Kalau demonstrasi memang di bawah Akta Perhimpunan Aman," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Menteri Pelancongan dan Kebudayaan di Tapak Perang Dunia Kedua "Battel of Kampar" di sini hari ini.

BACA: Debat Dr M-Nazri: Polis tidak terima permohonan permit

BACA: Apa intipati debat Tun Mahathir-Nazri Aziz?

BACA: Debat Tun Mahathir-Nazri Aziz 25 Mac ini di Padang Rengas

Pemangku Ketua Polis Negeri Datuk Hasnan Hassan sebelum itu berkata setakat ini tiada pihak memohon permit perhimpunan untuk majlis berkenaan yang dilaporkan akan berlangsung pada pukul 3 petang di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar.

"Sekiranya ia berlangsung tanpa kebenaran polis, maka ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012)," katanya dalam kenyataan pagi tadi sambil menambah bahawa sekolah adalah kawasan larangan mengikut Jadual Pertama Seksyen 3 APA 2012.

Justeru, katanya, polis boleh mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menghadiri majlis itu kerana berhimpun di tempat larangan dan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 9(5) APA 2012.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata beliau sentiasa menghormati Dr Mahathir sebagai bekas pemimpin negara, namun sebagai sebahagian daripada kerajaan, beliau perlu menjawab segala tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan.