KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran hari ini mengumumkan keluar dari parti MIC berkuat kuasa serta-merta.

Dalam surat kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Sivaraj turut memaklumkan peletakan jawatan sebagai Ketua MIC Cawangan Taman Bukit Kuchai Baru, Puchong, Selangor.

Sivaraj ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Selasa mengesahkan perkara itu.

Keputusan itu katanya dibuat susulan beberapa insiden termasuk beliau dilihat sebagai ancaman kepada kepimpinan MIC.

Malah katanya, beliau turut dihalang daripada berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

"Malangnya, beberapa peristiwa yang berlaku seketika berkhidmat di bawah kepimpinan Tan Sri (Vigneswaran) mengakibatkan saya untuk mengambil keputusan yang cukup menyedihkan ini.

"Secara peribadi saya merasakan keputusan ini adalah yang terbaik untuk saya dan yang paling penting kepada parti buat masa ini kerana saya dilihat sebagai satu ancaman kepada kepimpinan sedia ada di dalam parti.

"Saya ingin melaksanakan tanggungjawab dan tugasan saya sebagai seorang Ahli Dewan Negara dan pemimpin masyarakat India tanpa sebarang halangan atau sekatan dari mana-mana pihak, terutamanya dari kepimpinan MIC," katanya dalam sepucuk surat bertarikh 27 Jun 2023 itu.

Dalam pada itu, Sivaraj yang juga bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu berpendapat, jika kemelut itu berpanjangan, ia berkemungkinan akan membawa perpecahan dalam parti.

"Sejujurnya, saya tidak hendak menjadi punca parti ini terus berpecah belah akibat perbezaan pandangan dan pendekatan," ujarnya.

Menurutnya, sejak menyertai MIC sejak 20 tahun lalu, beliau memberi komitmen penuh kepada perjuangan parti India terbesar itu. 

"Sepanjang 20 tahun ini, saya telah menawarkan khidmat bakti yang sebaik mungkin kepada parti dan masyarakat atas kapasiti saya sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Naib Presiden, calon pilihan raya, ahli Parlimen dan terkini sebagai seorang Ahli Dewan Negara.

"Saya mendoakan agar MIC akan terus menjadi suara masyarakat India dalam arena politik negara kita. Semoga segala sumbangan, pengorbanan dan harapan pemimpin-pemimpin terdahulu kita seperti mendiang Tun S Samy Vellu tidak disia-siakan sebegitu sahaja akibat kepentingan segelintir individu," ujarnya.

Astro AWANI juga difahamkan beberapa pemimpin lagi akan mengumumkan keluar dari MIC dalam masa terdekat.