KUALA LUMPUR: Kerjasama antara UMNO dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan masih dalam keadaan sangat tidak selesa.

Demikian kata bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika mengulas kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai 'pakatan korup' berkemungkinan mencerminkan pandangan sebenar dalam hati penyokong DAP.

"Kita akan tunggu dan lihat apa perkembangan jangka masa panjang dari segi pandangan-pandangan yang lebih mencerminkan pandangan akar umbi di parti masing-masing. Sebab apa yang kita tahu, bukan hanya dari segi reaksi, kita lihat dari Perhimpunan Agung UMNO, masih lagi reaksi yang hambar terhadap kerjasama bersama DAP.

"Tetapi dengan kenyataan Tony Pua yang mungkin mencerminkan pandangan sebenar dalam hati penyokong DAP, kesimpulannya, hubungan ini dan kerjasama ini masih lagi sangat tidak selesa. Kita tengoklah dalam masa yang akan datang apa yang akan berlaku," katanya menerusi Program Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.

Sebelum ini, Pua yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara menggelar Barisan Nasional (BN), yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'pakatan korup'.

Dakwaan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk dari Anthony Loke yang menganggap Pua tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap mana-mana rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan dan menegaskan bahawa kenyataan beliau adalah atas kapasiti individu.

Pemuda UMNO pula menyifatkan kenyataan Pua sebagai biadab dan menggesa DAP mengambil tindakan terhadapnya sementara Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendesak agar Pua tidak dicalonkan pada PRN akan datang.