Kes SRC: Pas akur keputusan hakim, kekal iltizam dalam Muafakat Nasional

Pas menyatakan iltizam untuk terus bersama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

ABDUL HADI: Pas yakin Datuk Seri Najib akan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendapat keadilan di mahkamah ke peringkat seterusnya. - Gambar fail/Astro AWANI | Astro Awani
Pas menyatakan iltizam untuk terus bersama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kenyataan itu menyusul selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, kesungguhan pihaknya turut disertai usaha untuk memperkukuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pas mengambil sikap akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini.

"Pas yakin Datuk Seri Najib akan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendapat keadilan di mahkamah ke peringkat seterusnya," jelas Abdul Hadi dalam satu kenyataan.

Terdahulu, bekas perdana menteri itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.

Bagi tiga kesalahan pecah amanah dan tiga lagi kesalahan pengubahan wang haram, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, namun tiada denda dikenakan untuk pertuduhan pengubahan wang haram.