Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menafikan beliau akan mengarahkan anggota parlimen parti itu supaya menolak Rang Undang-Undang (RUU) Hudud jika ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

Tegas Mohamad, laporan yang disiarkan sebuah portal berita semalam boleh menimbulkan kekeliruan dan salah anggap dalam kalangan masyarakat terhadap pendirian Amanah.

Jelas beliau, Amanah mengambil pendirian sebarang RUU, termasuk undang-undang syariah, hendaklah dibincangkan terlebih dahulu di atas konsep pegangan perjuangan parti itu iaitu memilih secara demokrasi, konsultasi (perundingan) dan mengambil kira Perlembagaan negara.

"Oleh itu, sekiranya isu ini timbul pada masa akan datang, persetujuan di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat 2.0 jika ianya terbentuk nanti, hendaklah dibincang bersama terhadap sebarang pindaan perlembagaan atau hal-hal yang terlalu penting, sama ada untuk bersetuju ataupun tidak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, portal The Malaysian Insider melaporkan Mohamad sebagai berkata ahli parlimen Amanah sedia mengundi menolak rang undang-undang hudud di Dewan Rakyat sekiranya ia merupakan keputusan konsensus pembangkang.

"Kami akan bincangkan dengan rakan kami. Kita tak boleh paksa hudud atas rakyat sekiranya majoriti mereka, Islam dan bukan Islam, tidak bersetuju dengannya.

"Dan kita tak boleh paksa pelaksanaannya sekiranya ia bertentangan dengan perlembagaan," Mohamad dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata beliau tidak percaya rang undang-undang persendirian yang cuba dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berjaya dibentangkan di Dewan Rakyat.