Perbincangan kuota dan agihan kerusi Ahli Majlis melibatkan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor diadakan Selasa ini sebelum tempoh perkhidmatan Ahli Majlis tamat 30 Jun depan.

Naib Pengerusi PKR Selangor, Hee Loy Sian berkata, mesyuarat jam 3 petang itu melibatkan penyertaan kesemua parti komponen Pakatan Harapan (Harapan).

"Perbincangan ini penting kerana suasana sekarang sudah berlainan, sebelum ini kita ada wakil Pas, sekarang Pas sudah keluar dan kerusi Ahli Majlis bagi parti itu bakal dikosongkan.

"Sekarang kita ada dua parti baharu menyertai Harapan iaitu Bersatu dan Amanah yang turut berhak mendapat kuota bagi jawatan Ahli Majlis," katanya selepas program Bazar Ramadan Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2018 di GM Klang, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan perkembangan pelantikan Ahli Majlis di Selangor yang bakal berakhir 30 Jun depan.

Adun Kajang itu berkata, dari segi peratus agihan akan berlainan jadi kepimpinan parti akan bermesyuarat untuk mencapai kata putus berkenaan pembahagian itu.

"Bukan semua kerusi milik Pas akan diberikan kepada Amanah atau Bersatu, kemungkinan ada yang akan dapat kurang atau lebih kerusi.

"Perbincangan itu bukan hanya melibatkan kerusi yang ditinggalkan Pas bahkan juga kerusi DAP dan PKR juga akan dibincangkan dalam pembahagian itu," katanya.

Beliau menambah, perbincangan itu akan menggunapakai satu formula yang membolehkan semua pihak menerima keputusan mesyuarat itu nanti.

"Jangkaan kita pelantikan Ahli Majlis akan diadakan bermula 1 Julai nanti jadi ia perlu diselesaikan sebelum tarikh itu," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri telah melanjutkan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis PBT yang sepatutnya tamat 31 Disember lalu sebelum dilanjutkan ke tarikh 30 Jun depan.

Ia melibatkan seramai 283 Ahli Majlis di kesemua 12 PBT di seluruh Selangor.