KUALA LUMPUR: UMNO menyifatkan Pas telah gagal memenuhi syarat untuk membolehkan mereka meneruskan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiga syarat yang ditetapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih kekal.

"Kita tak ubah syarat kita iaitu tiga perkara yang presiden sebut. Bila Pas tak terima (syarat) tu, dengan sendirinya (tawaran kerjasama) gugur, itu saja.

"Kalau tak ada (kerjasama) memang maknanya akan ada pertandingan (pertembungan kerusi UMNO-Pas)," katanya ditemui selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Isnin malam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status kerjasama UMNO-Pas termasuk isu pertembungan 27 kerusi Parlimen yang dikhuatiri Pas.

UMNO menetapkan tiga syarat kepada Pas dalam memperkukuh kerjasama rasmi antara dua parti itu bagi menghadapi PRU15.

Tiga syarat berkenaan termasuk Pas perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.

Bagaimanapun, Pas dalam kenyataan balas menetapkan pendirian untuk terus bekerjasama dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tetap akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan 'komitmen' ketiga-tiga parti teras-Melayu seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan susulan status hubungan UMNO-Pas itu, kemungkinan kerjasama hanya akan wujud selepas PRU15 bagi membentuk kerajaan campuran. - Sinar Harian