KUALA LUMPUR: Dua komponen utama Muafakat Nasional, iaitu UMNO dan Pas dijangka akan bermesyuarat lagi di Menara Dato Onn petang ini.

Namun, tidak seperti pertemuan-pertemuan lalu, mesyuarat kali ini disulami dengan ketegangan antara pemimpin dua-dua parti terbesar Melayu itu, memandangkan situasi politik tidak lagi seperti sebelumnya.

UMNO dan Pas merupakan komponen utama dalam Muafakat Nasional. PAS merupakan komponen utama dalam gabungan Perikatan Nasional pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Biarpun terdapat Ahli-ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan dalam kabinet, namun Majlis Kerja Tertinggi parti itu sudah membuat keputusan tiada kerjasama dengan Bersatu atau Perikatan Nasional sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15  (PRU15) nanti.

Susulan kenyataan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan bertarikh 4 Mac itu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin kemudian dilaporkan berkata, parti pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Parti Perikatan Nasional iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN.

Jelas Ahli Parlimen Larut itu lagi, gerak kerja dengan komponen Perikatan Nasional sedia ada, akan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihanraya akan datang.

Dan ini menambahkan lagi persoalan demi persoalan terhadap hubungan yang dipupuk antara PAS dan UMNO.

BACA: Annuar dakwa UMNO kini bawah pengaruh Anwar


PRU15 | Keputusan UMNO muktamad, tolak kerjasama BERSATU

Akhbar Sinar Harian hari ini memetik sumber sebagai berkata, mesyuarat Muafakat Nasional petang dipercayai bagi membincangkan hala tuju dan masa depan mereka.

Lapornya lagi, ia merupakan mesyuarat yang amat penting selepas UMNO membuat keputusan tidak bersama Perikatan Nasional lagi selepas Parlimen dibubarkan.

“Kepimpinan UMNO mahu tahu apakah pendirian PAS kerana ini penting untuk menentukan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya nanti.

“Ini kerana adalah mustahil untuk memberikan kerusi sekiranya PAS tidak menyatakan pendirian mereka sama ada bersama dengan UMNO atau Bersatu,” kata sumber berkenaan kepada akhbar itu lagi.