KUALA LUMPUR: Kebocoran minit mesyuarat Pas baru-baru ini menunjukkan politik dan demokrasi Malaysia mendambakan satu gelombang baharu dengan pemain, pendekatan dan pemikiran baharu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, sekiranya tiada pembaharuan sebegitu, maknanya politik negara akan kekal di takuk lama.

Secara berseloroh, Shaiful Hazizy berkata, arena politik negara akan menjadi seumpama ungkapan “pi mai pi mai, tang tu” sahaja sekiranya tiada usaha untuk mewujudkan gelombang baharu.

BACA: Pasleak: Tepuk dada tanya selera, kata Zahid kepada Annuar

“Jika strategi dan perbincangan seperti yang tertera dalam dokumen tersebut adalah benar, ia menunjukkan bahawa politik kita masih sangat bersifat mengambil kesempatan.

“Ia tidak berasaskan pertembungan idea yang besar dan siapakah yang lebih bersedia membawa solusi kepada masyarakat dan negara. Ia tidak berkisar tentang siapakah yang mempunyai calon lebih berwibawa dengan agenda masa depan yang jelas.

BACA: Pasleak: Dua mazhab iaitu UMNO GO Solo, Muafakat Ummah - Tun Faisal

“Semuanya tentang bagaimana hendak mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain. Ini bukan budaya yang baik dan wajar menjadi amalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, politik dan demokrasi negara tidak akan matang jika terus melayan, mengangkat polemik dan drama dibawa oleh mereka yang tabiatnya suka membaling batu lalu sembunyi tangan.

“Politik ini pada sifat asasnya itu bukanlah kotor. Namun, saya akui di dalamnya ada lumpur. Dan kadang kala sangat berselut dan hanyir.

PasLeaks | Annuar Musa perjelas isu kesetiaan terhadap parti

“Kegagalan kita untuk membawa diri dengan baik akan memberi kesan kepada semua pihak. Terutamanya rakan-rakan seperjuangan kita.

“Justeru, marilah kita mengambil isu ini sebagai peringatan untuk sentiasa membaiki diri dan memastikan kita tidak menjadi sang kerbau yang membawa lumpur kepada kumpulannya,” ujarnya.

'PasLeak' didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO tular di media sosial sebelum ini.

Ia adalah beberapa keratan didakwa minit mesyuarat Pas yang menggariskan pelan untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk rancangan menyegerakan usaha untuk memasukkan Ahmad Zahid ke penjara.