KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terpulang kepada Pas sama ada kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) kekal atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal menjelang.

Mohamad Hasan berkata sekiranya Pas membuat keputusan untuk terus bersama dengan BN, parti itu akan mendapat lebih banyak faedah dan manfaat.

“Kami ingin Pas bersama kami, tetapi ia bukan keputusan kami.

“Ini keputusan yang perlu dibuat Pas untuk bersama kami atau tidak,” kata Mohamad dalam sidang media selepas ucaptamanya di Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Sabtu.

Beliau berkata, sekiranya Pas membuat keputusan untuk kekal dengan Perikatan Nasional (PN), maka pertembungan antara kedua-dua parti itu akan berlaku.

“Jika Pas bersama kami, maka di kawasan-kawasan Melayu, mereka akan selamat.

“Tetapi jika bukan dengan BN, kita perlu berdepan semula dan belum tentu keputusannya,” katanya.

Sebelum ini, Pas berkata ia akan bekerjasama dengan parti-parti dalam PN supaya dapat menghadapi PRU-15 sebagai sebuah kerajaan. 

Bagaimanapun, UMNO menegaskan bahawa parti itu akan keluar dari PN apabila Parlimen dibubarkan dan tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.