AYER KEROH: Gara-gara rimas dengan lambakan bendera serta kain rentang parti-parti politik yang digantung sekitar kawasan perumahan, seorang pemandu lori bertindak mencabut bahan kempen itu sebelum dikesan pihak polis di Taman Melaka Perdana, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.54 malam Isnin, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk disoal disiasat.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali bagaimanapun berkata, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan dan siasatan mendapati tindakan khianat individu itu tiada sebarang kaitan dengan elemen mana-mana parti politik.

“Hasil soal siasat mendapati tujuan lelaki tersebut melakukan perbuatan itu adalah kerana pemasangan bendera dan ‘banner’ yang digantung telah menghalang pemandangan pengguna jalan raya yang ingin keluar dan masuk ke simpang jalan.

“Pemeriksaan pihak polis juga telah menemui lapan batang bendera berlogo Pakatan Harapan (PH), empat batang bendera Perikatan Nasional (PN) serta 14 batang bendera Barisan Nasional (BN) dan suspek juga mengakui tujuan beliau berbuat demikian tiada kaitan dengan elemen politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan setakat ini lima laporan diterima berkaitan kesalahan sama di seluruh negeri.

“Pihak polis terima lima laporan yang dibuat berkaitan pertuduhan sabotaj bendera parti iaitu dua laporan di daerah Melaka Tengah, dua di Alor Gajah dan satu di Jasin,” tambahnya.

Justeru, pihaknya turut menasihati parti-parti politik supaya memasang atau memacak bendera di tempat yang tidak menghalang pemandangan pengguna jalanraya untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan.