SENDAYAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan reaksi dan sambutan masyarakat terhadap BN sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16), semakin positif.
Beliau berkata, perubahan itu dapat dilihat menerusi bahasa tubuh dan respons orang ramai ketika berkempen, yang menurutnya berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini.
Menurut Mohamad, jika sebelum ini ada pengundi yang mengelak daripada bertemu pemimpin BN, kini mereka dilihat menunggu ketibaan rombongan kempen dan tampil menyatakan sokongan secara terbuka.
“Saya katakan tadi saya amat gembira kerana body language, respons orang bila kita berjumpa, tak seperti pilihan raya yang lalu.
“Pilihan raya yang lalu, (bila) kita lalu kat kedai dia masuk ke dalam. Tapi hari ini dia tunggu dia nampak kita datang dia tunggu dia duduk luar. Itu juga berlaku di Johor. Dan saya katakan itu semasa di interview Johor.
"Saya katakan daripada body language, I can tell that something is brewing. They have already decided. They have already made up their minds (saya dapat rasakan ada sesuatu yang sedang berlaku. Mereka sudah membuat keputusan),” katanya.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN, di sini, pada Jumaat.
Ujarnya lagi, perkembangan itu memberi keyakinan bahawa sebahagian pengundi telah membuat keputusan lebih awal menjelang hari pengundian.
Sehubungan itu, Mohamad berharap rakyat Negeri Sembilan dapat memanfaatkan momentum tersebut dengan memberi semula mandat kepada BN untuk meneruskan agenda pembangunan negeri serta mengelakkan Negeri Sembilan daripada terus tercicir dalam aspek pembangunan.