Parti UPKO menyambut baik keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk masuk ke Sabah, asalkan langkah itu mampu mengekalkan keharmonian pentadbiran negeri dan memastikan hak-hak rakyat negeri ini yang dituntut terlaksana.

Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedict berkata, ini adalah peluang kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad membuktikan beliau mampu merealisasikan setiap tuntutan itu selepas gagal melakukannya ketika menjawat jawatan itu selama 22 tahun sebelum ini.

"Perdana Menteri kita, Tun Mahathir, kini mempunyai ruang untuk membuktikan yang dia boleh deliver apa yang dia tidak dapat deliver semasa beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

"Rakyat Sabah ingin melihat royalti minyak dinaikkan dan cukai-cukai di Sabah serta autonomi pentadbiran Sabah," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Hala Tuju Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah di Dewan Tun Sakaran Tabung Haji, di sini, hari ini.

Ewon mengulas mengenai keputusan Bersatu untuk membuka cawangan di Sabah, walaupun sebelum ini Bersatu dan Parti Warisan Sabah (Warisan) bersetuju parti dari Semenanjung tidak melebarkan sayap ke negeri ini.

BACA: Bersatu akan didaftar di Sabah beberapa minggu lagi - Muhyiddin

BACA: Bersatu ke Sabah: 'Baiknya jika dirunding supaya tiada ketegangan dalam parti' - Anwar

Semalam, Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan Warisan telah mempunyai pendirian jelas mengenai perkara itu (Bersatu tidak perlu ke Sabah), namun beliau tidak boleh menghalang langkah berkenaan.

Sementara itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, berkata walaupun UPKO dan Warisan mempunyai pendirian sama, namun sejarah politik Sabah telah membuktikan bahawa parti dari Semenanjung masih mendapat permintaan rakyat tempatan.

"Akhirnya kita tahu, parti-parti yang masuk Sabah sebenarnya atas permintaan orang Sabah, sama seperti kemasukan UMNO dahulu, pada 1990-an, bukan UMNO hendak masuk ke Sabah tetapi kehendak rakyat Sabah sendiri," katanya.

BACA: Liew terkejut keputusan Bersatu mahu tubuh cawangan di Sabah

BACA: Bersatu ke Sabah: Mungkin wujudkan hubungan dingin Warisan dan PH: Penganalisis